Penafian

Semua entri dalam laman blog ini adalah luahan jiwa dan raga semata-mata, tiada kena mengena dengan hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Entri di dalam blog ini tidak sesuai untuk bahan rujukan rasmi dan pihak kami tidak bertanggungjawab di atas apa-apa kejadian tembak-menembak, sepak terajang dan tendang-menendang di atas penggunaan bahan dalam laman blog ini. Harap maklum.
Budaya buli mencemarkan imej pendidikan negara.. Teks pidato untuk Khaled
Teks ni aku tuliskan khas untuk Khaled.. die kene cakap thanks.. ngee :D

Pengucap: Syed Khaled bin Syed Saleh
Majlis: Pengucapan Awam 52 Jam Tanpa Henti UiTM 2009
Tarikh: 22 Jun 2009
Tajuk: “Budaya buli mencemarkan imej pendidikan negara”

Dewasa ini, media arus perdana negara semakin dihujani oleh berita-berita gejala sosial remaja yang sehingga hari ini sukar dibendung dan diperangi sehingga ke akar umbi. Dari isu lapuk seperti merokok dan ponteng hinggalah kepada masalah gengsterisme. Sekarang ini tiba-tiba sahaja orang sibuk mengaitkan sekolah dengan buli walaupun ini merupakan bentuk keganasan yang terawal dan biasa di sekolah. Jika tidak kerana kejadian yang menimpa seorang pelajar Tingkatan 4 sebuah sekolah menengah agama beberapa tahun lepas, masyarakat sekeliling masih menganggap buli adalah perkara biasa, khususnya di sekolah-sekolah berasrama.

Sebelum saya terus menghangatkan isu ini, moleklah kiranya saya menjelaskan maksud buli secara khusus. Menurut kamus dewan edisi ke-4, buli boleh dintrepetasikan sebagai perbuatan mendera, mempermainkan seseorang supaya dapat menyesuaikan diri dengan suasana yang baru. Menurut Hazler dan Hoover pula yang dipetik di dalam bukunya yang bertajuk “Developmental Psychology Childhood and Adolescence” yang diterbitkan pada tahun 2006, buli bolehlah dimaksudkan sebagai tingkah laku agresif di mana seorang pelajar atau satu kumpulan pelajar mengganggu seorang mangsa secara fizikal atau psikologi bagi satu jangka masa yang panjang dan dilakukan berkali-kali terhadap mangsa.

Hadirin hadirat warga budiman sekalian,
Hampir semua pelajar yang pernah belajar di sekolah berasrama penuh mengetahui wujudnya buli, walaupun hanya segelintir yang menjadi mangsa atau pembuli. Tetapi saya percaya sebahagiannya tidak pula menganggap perkara ini serius dan perlu diperbesar-besarkan. Bagi mereka, buli yang dilakukan oleh pelajar senior ke atas pelajar junior (dengan izin) adalah satu bentuk yang boleh diterima sebagai satu cara untuk menambahkan keyakinan hidup di asrama, untuk belajar hidup berdikari, menerima sedikit tekanan dan tidak dimanjakan. Malahan hubungan lebih mesra antara pelajar senior dengan pelajar junior akan berlaku selepas itu. Tetapi perbuatan buli yang sehingga membunuh seperti yang terjadi ke atas Muhammad Farid Ibrahim adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh masyarakat dan dengan kejadian inilah, masyarakat kini membuka mata, melihat isu buli ini sebagai satu isu perlu diperangi habis-habisan sebelum kejadian demi kejadian menggegarkan media arus perdana negara.

Tujuan asal perbuatan buli hanyalah untuk menjadikan pelajar baru yang menghuni di asrama khususnya supaya dapat menyesuaikan diri hidup berjauhan dengan keluarga dan lebih menghormati senior-senior mereka (dengan izin). Walau apapun matlamat baik yang cuba diketengahkan daripada tindakan buli, buli tidak boleh dibenarkan jika dapat mencederakan dan sehingga ke tahap membunuh. Tindakan menyakitkan perasaan dan fizikal orang lain apatah lagi mencederakan dan membunuh tidak dibenarkan baik dalam agama apa sekalipun dan tidak boleh dibuat jenaka atau dilakukan dengan tujuan berseronok-seronok.

Dengan penyebaran media terhadap kes-kes buli ke seluruh negara, secara tidak langsung telah mencemarkan imej pendidikan Negara dengan bunyi-bunyi mengatakan bahawa pendidikan Negara kita lebih menjurus kepada nilai akhlak pelajar yang semakin rosak dan tiada usaha-usaha untuk membendung gejala yang tidak sihat ini. Pihak kerajaan dan pihak kementerian khususnya cuba mencari langkah proaktif untuk membendung budaya buli yang saya kira menjadi budaya sejak dahulu lagi. Dari pengalaman bapa dan ibu, abang serta kakak yang pernah menjejakkan kaki ke sekolah berasrama, semuanya pernah merasa tindakan buli dan telah menjadi mangsa kepada kes buli. Bagi mereka, ini adalah budaya yang diamalkan dari dahulu dan sudah bersedia untuk menghadapinya. Justeru, laporan kepada pihak berwajib tidak dibuat.

Hadirin sekalian,
Semua pihak terutamanya ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat perlu menyedari bahawa gejala buli yang diamalkan sejak dahulu lagi perlu diubah dari satu budaya kepada satu gejala yang kurang sihat dan perlu dihentikan demi menjaga prestasi anak-anak muda negara kita kerana merekalah yang akan menjadi tunjang pemimpin negara kita nanti. Kita tentu tidak mahu insiden buli ini menjadi lebih teruk seperti yang berlaku di Amerika Syarikat di mana tembakan rambang kerap berlaku di sekolah. Salah satunya ialah insiden Columbian High School di akhir 1960an. Adalah penting untuk kita ingat bahawa buli, konflik verbal, sentuhan fizikal dan yang berhubung dengan tindakan agresif masih menjadi bentuk yang biasa dalam masyarakat. Saya menegaskan bahawa bentuk-bentuk keganasan sekolah ini merupakan petanda awal kepada bentuk keganasan yang lebih besar dalam masyarakat. Sebab itu mengendalikan masalah kecil di sekolah adalah penting untuk kita mengelakkan berlakunya masalah yang lebih besar. Hal ini tidak mustahil akan terjadi di Malaysia jika tiada usaha dan inisiatif untuk membendung gejala yang menjadi duri dalam daging yang lama-lama akan bernanah seterusnya mencemarkan imej pendidikan negara.

Salah satu usaha pihak kementerian pelajaran untuk membendung gejala ini ialah mewujudkan hotline bagi memudahkan pelajar dan mangsa buli membuat aduan kepada pihak kementerian. Wujudnya hot line ini dilihat betapa seriusnya masalah buli. Sesetengah pula melihat sebagai satu sindiran kepada pihak pengurusan sekolah yang gagal menangani masalah disiplin sehingga menteri terpaksa campurtangan. Apakah tidak ada sesiapa lagi di sekolah yang tidak boleh diharapkan oleh pelajar sehingga mereka terpaksa berhubung terus dengan kementerian untuk membuat aduan?. Pendedahan oleh sesetengah media menunjukkan betapa sekolah gagal memainkan peranan yang sepatutnya. seolah-olah sekolah tidak selamat lagi untuk para pelajar.

Sama ada disukai atau tidak, pengetua dan guru besar selaku pemimpin di sekolah harus menerima perkembangan ini dengan fikiran terbuka. Tindakan terbaru ini harus dilihat sebagai perkembangan yang positif kerana ini menunjukkan semua pihak semakin sedar masalah ini dan sama-sama berusaha untuk membantu pihak sekolah. Inilah masanya sekolah mengambil kesempatan untuk mendedahkan punca sebenar masalah ini kepada umum. Inilah masanya sekolah menuntut peranan semua pihak terutama ibu bapa dan masyarakat agar melihat peranan masing-masing untuk membantu sekolah. Perasaan kita tentang sebilangan kecil yang tidak senang dengan sekolah harus disingkirkan kerana majoriti masyarakat kita masih sayangkan sekolah.

Alasannya mudah. Bukankah di sinilah anak-anak, anak-anak saudara, dan cucu-cucu mereka ditempatkan dalam suatu tempoh yang bukan pendek. Mereka menyerahkan tugas mendidik dan menjaga keselamatan anak-anak mereka kepada guru-guru. Mereka percaya guru-guru mampu melakukannya dan menunaikan tanggungjawab sebagai “ibu bapa kedua” dalam tempoh masa rasmi persekolahan.Walaupun dikatakan segala-galanya bermula di rumah, tetapi dengan segala kemudahan pendidikan yang ada di sekolah, ditambah dengan kepakaran mendidik yang ada pada guru-guru, sekolah dilihat berupaya memainkan peranan lebih utama dalam pembentukan calon pemimpin, pekerja dan ahli masyarakat masa depan. Justeru, sekolah wajar mengambil langkah berjaga-jaga yang berpatutan supaya tidak dituduh cuai dalam menjalankan tugasnya sebagai “ibu bapa kedua”.

Hadirin sekalian,
Usaha mengatasi masalah disiplin pelajar umumnya dan buli khasnya hanya akan berjaya jika ia dilakukan secara ikhlas, konsisten dan melibatkan semua pihak secara sedar dan terancang. Tindakan secara “ad hoc” (dengan izin) dan berkala hanya dilihat sebagai tindakan hangat-hangat tahi ayam. Usaha murni ini tidak wajar dilakukan dengan melihat kesalahan orang lain.

Selagi ada pihak yang mendakwa ada pihak yang lebih bersalah daripada pihak yang lain, usaha ini tidak akan ke mana-mana. Harus ingat, kita melaksanakannya bukan untuk menunjukkan siapakah di antara kita yang lebih hebat, jauh sekali untuk mencari kesalahan pihak lain tetapi semua ini dilakukan atas satu kesedaran bahawa semua pihak bertanggungjawab atas apa jua yang berlaku pada anak-anak bangsa Malaysia yang merdeka. Apa sahaja yang kita lakukan hari ini, baik sebagai guru, ibu, bapa, masyarakat, pemimpin, media dan sesiapa sahaja akan memberi impak yang besar bagi pembentukan generasi akan datang. Tentulah cara kita berbeza-beza menurut peranan dan fungsi kita masing-masing.

Akhir kata, marilah sama-sama kita berganding bahu memerah keringat demi untuk membendung gejala buli ini daripada terus-menerus membelenggu sistem pendidikan negara kita. Negara kita tanggungjawab kita. Sekian, terima kasih.


ps: Huh.. 1 hari gak aku perah kepala nak buat benda ni.. Aku tengok video.. Hrm. ok la Khaled oi... Mane RM200 aku.. ngee:D.. nak buat lupe la tu..
2 Responses
  1. Miss N Says:

    mohon kongsi pidato boleh ?


  2. Sila2.. jangan malu jangan segan..


Post a Comment

Makasih sebab comment ya....

  • Jerit-Jerit di Sini

    Adakah rupa baru ini lebih indah, ceria dan membuatkan mata anda terpanggil untuk meminta otak supaya mengawal anda untuk melawat laman blog ini lagi?

    Followers