Penafian

Semua entri dalam laman blog ini adalah luahan jiwa dan raga semata-mata, tiada kena mengena dengan hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Entri di dalam blog ini tidak sesuai untuk bahan rujukan rasmi dan pihak kami tidak bertanggungjawab di atas apa-apa kejadian tembak-menembak, sepak terajang dan tendang-menendang di atas penggunaan bahan dalam laman blog ini. Harap maklum.
Safuan.. mahu datang ya kamu.. Meh cerita-cerita dan riang-ria!
Hurm.. perjalanan hidup hari ini bermula pada jam 1 petang, dikejutkan oleh Meeza minta untuk menciptakan blog, kerana blognya tidak dapat di edit. Tapi malangnya tidak dapat membantu kerana jaringan internet di rumah tidak dapat berfungsi seperti biasa kerana terdapat masalah id dan kata laluan.

Lantas aku teringat tentang Safuan yang ingin menginap di Kuala Lumpur yang akan tiba sekitar jam 5. Aku sangat riang-ria menerima kehadirannya. Lalu, aku bingkas bangkit dan mengucap selamat kepada rakan wajib di YM. Aku mandi dan membuat eksesais ringan bersama lagu kesukaan sekarang: Ya Maulai from Dato' Siti.

Bersiap-siap dan menge"call" Safuan dan katanya sudah berada di Serdang. Huh.. sungguh cepat ya. Naiki bas apa saja dia ni?.. Suara itu hanya di mindaku saja tanpa diluahkan. Menunggu bas pengantara seperti biasa sambil mengunyah keropok lekor. Berjalan longlai ala asi-asi menuju ke stesen dan sempat menjeling kepada staf Rapid KL yang kurang ajar itu. (Sila baca pos aku sebelum ini untuk keterangan lanjut)

Tren bergerak pantas dan agak dipenuhi dengan manusia yang baru saja menghabiskan tugas di tempat curah bakti. Bau semerbak yang menerobos ke hidung membuatkan mata aku mencari di mana punca bau tersebut. Huh.. memang saja mahu di tayang perut berketak enam itu kepada ku, dan terasa seperti.........

Menemui Safuan di Puduraya dan langsung saja makan KFC di kawasan berdekatan sambil bercerita panjang. Tentang ini dan tentang itu... (butirnya sila tanya Safuan sendiri). Aku cadangkan kita merayau dulu di kawasan KL terchenta kerana waktu ini tren sangat dipenuhi manusia yang baunya sangat semerbak itu. Safuan setuju dan kami memulakan langkah ke Bukit Bintang.

Pavilion, singgahan kami yang hanya bertujuan untuk bertemu Cik Sal yang mencurahkan bakti di Annick Goutal. Tapi malangnya beliau tidak ada di kaunternya. Kami hanya berjalan longlai keluar dari Parkson dan merayau sebentar di sekitar Pavilion. Sedang berehat di bangku yang disediakan, kelibat Wawan dan Cik Sal menerobos ruang mata dan membuatkan kami terus berlaga pipi.. Kalau jodoh tidak ke mana kan.

Sudah ketemu dengan Cik Sal, kami seterusnya kepingin saja mahu lepak dan bercerita. Kaki melangkah ke Island Bistro dan memesan Iced Latte. Berceritalah kami, bergosip dan melahar kerana sudah lama tidak ketemu. Bergelak ketawa kami meriangkan suasana di sekitar Pavilion kebanggaan Bukit Bintang.

Kami hanya menjejakkan kaki ke kediaman di Tropicana jam 12.00 malam dan semua keletihan dan terus menghenyakkan badan ke sofa...Aku sangat riang-ria kerana Safuan datang untuk memecahkan kesunyian di kala cuti yang akan sampai ke penghujungnya...


Guru, Cikgu, Pensyarah, Tutor, Fasilitator, Tenaga Pengajar dan dll. Apa maksudnya ya?
Terkadang aku mengingati kenangan lama, waktu zaman.... hurm.. kanak-kanak mahu meningkat remaja dan melangkah ke alam dewasa. Aku pernah tanyakan kepada mamaku, apa beza semua perkataan di dalam tajuk itu. Guru, Cikgu, Pensyarah, Tutor, Fasilitator, Tenaga Pengajar dan macam-macam lagi ungkapan serta perkataan yang disebutkan orang -orang sekeliling membuatkan aku bingung sementara waktu.

Mama aku menjawab dengan penuh berhati-hati supaya aku mudah faham dengan kata-katanya itu. Maklum saja, aku baru mahu mengenal erti hidup. Semuanya dijelaskan satu persatu tanpa jemu. Cikgu katanya tiada beza dengan guru. Pensyarah pula untuk mereka yang mengajar dikalangan pelajar IPT. Tutor juga sama, tapi tidak mengajar tetapi memberi tunjuk ajar saja. Hanya mengaplikasikan apa yang diajar. Fasilitator pula hanyalah pemudah cara. Segalanya seharusnya menjadi mudah pabila fasilitator datang menjengah dan tenaga pengajar....

Agak susah untuk diterangkan rupanya. Mamaku kata, tenaga pengajar ialah semua kata-kata tadi, gelarannya semua boleh digantikan dengan tenaga pengajar. Guru juga tenaga pengajar, pensyarah juga tenaga pengajar dan seterusnya.

Lantas.. aku bertanya.. "Owh.. kalau cam tu.. leh la adik sebut cikgu-cikgu kat sekolah tu.. tenaga pengajar ya..."

Mama ku cakap... " Tak boleh la.. cam tak sesuai jew.. lagi pun panjang sangat"

"Abis, kan sama saja maksudnya"

"Entah... tak penah dibuat orang.. panggil cikgu sudah..."

Soalan-soalan tersebut tergantung begitu saja. Tanpa ada soal jawab itu lagi.

Tapi... pada suatu hari, semasa aku berada di Tingkatan 3, mama ku cuba untuk mengembalikan ingatan.

"Ingat tak adik penah tanya pasal Tenaga Pengajar tu?

"Ingat"

"Mama dah tau. Tenaga pengajar dah boleh guna dah."

"Ha? Boleh guna? Kat mana je?"

"Akademi Fantasia" .....apakah..... Terkesima sebentar...



Makanan berkhasiat di kala Gas Memasak habis....
Sudah 2 hari dapur konvensional aku tidak digunakan... Gas nya sudah habis..

Ahaaaaa..... sudah 2 hari juga ya aku hanya memasak masakan yang sangat berkhasiat tanpa kehadiran minyak kerana apa? Aku hanya memasak menggunakan Microwave dan Oven yang masih berfungsi seperti biasa walaupun keadaan Microwave itu rupanya seperti hidup segan mati tidak mahu.

Apa yang boleh katakan agak terkilan itu kerana aku tidak bisa sama sekali memasak air... Arghhhhh.. Jalan penyelesaiannya? Masak air juga di dalam microwave oven... Apakah.

"Tak de tak de.. ko dah nak balik dah.. Aku malas nak beli gas tu untuk ko. Makan jew ape yang ade.. Pandai2 la berdikari. Biar ko nampak kurus sikit.." Teriakan mak aku di dalam talian telefon kediaman..

Jadi.. aku hanya perlu menjadi kreatif untuk mengisi perut. Makanan instant juga sudah abis di makan. Kerna ketul-ketul nugget yang terakhir pun aku masak menggunakan oven. Tapi sedap juga. Paket-paket maggie yang terakhir juga telah aku makan.. masak menggunakan microwave oven yang ada..

Sebelum apa-apa.. ada juga yang bertanya.. aku tinggal dengan siapa di rumah indah ini. Jawapannya... Aku keseorangan dan bersendirian di rumah terchenta ini tanpa ada orang lain... Bujang sangat bunyinya... Memang bujang, tanpa TV tanpa Radio, Tanpa Astro, tetapi syukur kerana PC yang juga sudah hidup segan mati lain kali ini masih berfungsi dan aku boleh menghabiskan masa dihadapan PC ini saja.

Berbalik kepada cerita tadi. Kini yang tinggal hanyalah ayam kasar yang aku beli minggu lalu.. Cadangnya ingin memasak nasi ayam... tapi malangnya.. Gas pula habis digunakan. Apa yang aku lakukan... Aku lembutkan "Chicken Keel" yang aku beli itu, dan asingkan isi dan tulangnya. Terus aku marinate dengan beberapa rempah seperti oregano dan rosemarie. Aku memang ketagih dengan rasa daun rosemarie tersebut kerna baunya sungguh menusuk kalbu.

Aku hiris nipis isi ayam tersebut.. lalu aku celupkan ke dalam telur dan celupkan ke dalam tepung yang telah aku adunkan dengan serdak roti yang kaler kuning itew. Lalu aku bakar ke dalam oven.

Hasilnya.... jadilah kepingan ayam rangup salutan serdak roti yang sungguh lazat di makan kala perut sedang mendendangkan lagu Ya Maulai, Siti Nurhaliza. Apa yang boleh aku katakan makanan yang aku sediakan memang cukup "healthy" kerana tiada kehadiran minyak dan ayam yang aku gunakan tanpa lemak..

Cukup la sampai petang kenyangnya. Nanti malam aku turun saja kedai makcik dan rembat saja apa yang boleh di telan di sana. Chow..

ps: Menyesal pula tidak membawa balik camera digital aku yang ditinggalkan di kampus terchenta.
Staf RapidKL yang kurang ajar....

Sekadar Gambar Hiasan: Stesen Rel Kelana Jaya


Pada suatu hari (Sebut seperti mahu menjejak kaki ke dunia pertandingan bercerita). Aku bersama Que mahu menaiki tren dari Stesen Kelana Jaya ke Stesen Masjid Jamek kerana Que mahu pulang ke kampung halaman pada selasa yang lalu, 23 Jun. Insiden ala2 diva ini berlaku setelah bapuk yang bekerja di Stesen itu tidak tahan melihat kecantikan aku dan Que dan rasa teramat cemburu lalu mengeluarkan kata-kata "Cantiquekah engkau"

Dengan rasa terhormat serta asi-asi antara aku dengan Que, berpatah balik untuk mencari jalan penyelesaian yang cukup membuatkan kamu dan kamu serta kamu akan dibuang kerja. Salah aku kah. Mari ikuti penceritaannya di dalam report yang telah aku kirim ke Rapid KL semalam..


-----


Ketidakpuasan terhadap Pegawai Khidmat Pelanggan
di Stesen Rel Kelana Jaya
Muhamad Ridhwan [reezwan1710@yahoo.com.my]
Sent:26 June 2009 03:34
To:
Cc:

Tuan/Puan:

Salam sejahtera.

Saya ingin meluahkan rasa tidak puas hati terhadap 3 orang pegawai perkhidmatan pelanggan di Stesen Rel Kelana Jaya ketika saya menggunakan perkhidmatan Rapid KL pada 23 Jun 2009, kira-kira jam 3.00 petang.

Saya telah menegur dengan sopan kepada seorang pegawai perkhidmatan pelanggan semasa saya ingin membeli tiket di kaunter Pejabat Khidmat Pelanggan. Memandangkan TVM yang disediakan memaparkan "Exact Fare Only", saya terpaksa membeli tiket di Kaunter tersebut yang dikendalikan oleh pegawai yang bernama Encik Az*** dan Encik Fai***.

Pegawai yang mengendalikan tiket tersebut hanya menjawab soalan saya dengan nada yang sinis dan tidak beradab ketika saya mengajukan soalan "Adakah Encik sihat hari ini". Bagi saya, soalan sebegitu sudah biasa dengan adat dan budaya rakyat Malaysia yang mementingkan kesopanan. Saya yang kecewa dengan sikap pegawai tersebut hanya memberikan keluhan "Sombongnya Encik ini" dan terus berlalu pergi.

Ketika saya ingin melalui pagar tiket dan terus ke platform, kedua pegawai tadi melemparkan kata-kata kesat kepada saya. Saya yang tidak puas hati dengan kata-kata tersebut terus kembali ke Kaunter tersebut untuk mendapatkan nama pegawai berkenaan. Akhirnya saya telah ditahan oleh seorang pegawai lain yang bernama Encik Am***, Station Master di Stesen Rel Kelana Jaya dan memaksa saya untuk memulangkan tiket yang telah saya beli dengan alasan saya terlalu "kurang ajar" dan Rapid KL berhak untuk menahan saya daripada menggunakan perkhidmatan rel kerana saya kurang ajar.

Saya cuma ingin mempertahankan hak saya ketika itu dan kes ini telah diselesaikan oleh seorang lagi pegawai wanita (tidak sempat untuk mendapatkan nama beliau). Beliau telah meminta maaf bagi pihak semua pegawai dan memulangkan tiket saya dan meminta saya terus mendapatkan tren untuk ke destinasi saya. Hal ini telah betul-betul memalukan saya dan secara tidak langsung mencerminkan ketidakprihatinan Rapid KL dalam melayan pelanggan.

Saya telah membaca sekali lagi peraturan penggunaan keretapi yang dipaparkan disemua stesen dan tidak ada langsung klausa yang menunjukkan bahawa pihak Rapid KL berhak untuk menarik balik tiket penumpang kerana penumpang tersebut kurang ajar. Dalam hal ini, pegawai berkenaan yang boleh dilabelkan sebagai kurang ajar dan bukan saya dan di dalam polisi pelanggan, seseorang pegawai tidak boleh melemparkan kata-kata kesat kepada seseorang pelanggan dan hal ini telah melanggar etika seorang Pegawai Khidmat Pelanggan.

Saya telah menelefon Talian Khidmat Pelanggan untuk melaporkan perkara ini dan saya telah dilayan oleh N****** (saya tidak pasti nama pegawai berkenaan) yang melayan saya dengan cukup baik dan berhemah. Beliau telah memohon maaf di atas semua kes yang berlaku dan berjanji perkara sedemikian tidak akan berlaku lagi. No laporan yang diberikan oleh N****** ialah 1*** untuk rujukan pihak tuan/puan terhadap kes ini. Saya amat memuji cara Nor/Nurul mengendalikan kes dan menghubungi saya semula untuk menerangkan tindakan yang akan dilakukan oleh pihak Rapid KL.

Saya merupakan pengguna tetap bagi kemudahan rel dan bas Rapid KL dan saya rasa bertanggungjawab untuk melaporkan perkara ini bagi Rapid KL memperbaiki mutu perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan. Bagi saya, pelanggan merupakan cermin kepada perkhidmatan yang diberikan oleh pegawai dan staf Rapid KL.

Saya berharap pihak Rapid KL dapat memandang secara serius berkaitan dengan perkara ini supaya dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pengguna khasnya warga Malaysia. Perlu diingat bahawa bukan rakyat Malaysia sahaja yang menggunakan perkhidmatan Rapid KL tetapi pelancong-pelancong asing. Pihak tuan boleh menghubungi saya di talian 019-418**** jika ingin mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan kejadian untuk tujuan siasatan. Kerjasama dari pihak tuan/puan amatlah saya hargai.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,



Muhamad Ridhwan bin Jahidin
Pengguna Rapid KL

mrj

-----
ps: No Telefon dan nama pegawai tekah dipadamkan atas dasar privasi
Budaya buli mencemarkan imej pendidikan negara.. Teks pidato untuk Khaled
Teks ni aku tuliskan khas untuk Khaled.. die kene cakap thanks.. ngee :D

Pengucap: Syed Khaled bin Syed Saleh
Majlis: Pengucapan Awam 52 Jam Tanpa Henti UiTM 2009
Tarikh: 22 Jun 2009
Tajuk: “Budaya buli mencemarkan imej pendidikan negara”

Dewasa ini, media arus perdana negara semakin dihujani oleh berita-berita gejala sosial remaja yang sehingga hari ini sukar dibendung dan diperangi sehingga ke akar umbi. Dari isu lapuk seperti merokok dan ponteng hinggalah kepada masalah gengsterisme. Sekarang ini tiba-tiba sahaja orang sibuk mengaitkan sekolah dengan buli walaupun ini merupakan bentuk keganasan yang terawal dan biasa di sekolah. Jika tidak kerana kejadian yang menimpa seorang pelajar Tingkatan 4 sebuah sekolah menengah agama beberapa tahun lepas, masyarakat sekeliling masih menganggap buli adalah perkara biasa, khususnya di sekolah-sekolah berasrama.

Sebelum saya terus menghangatkan isu ini, moleklah kiranya saya menjelaskan maksud buli secara khusus. Menurut kamus dewan edisi ke-4, buli boleh dintrepetasikan sebagai perbuatan mendera, mempermainkan seseorang supaya dapat menyesuaikan diri dengan suasana yang baru. Menurut Hazler dan Hoover pula yang dipetik di dalam bukunya yang bertajuk “Developmental Psychology Childhood and Adolescence” yang diterbitkan pada tahun 2006, buli bolehlah dimaksudkan sebagai tingkah laku agresif di mana seorang pelajar atau satu kumpulan pelajar mengganggu seorang mangsa secara fizikal atau psikologi bagi satu jangka masa yang panjang dan dilakukan berkali-kali terhadap mangsa.

Hadirin hadirat warga budiman sekalian,
Hampir semua pelajar yang pernah belajar di sekolah berasrama penuh mengetahui wujudnya buli, walaupun hanya segelintir yang menjadi mangsa atau pembuli. Tetapi saya percaya sebahagiannya tidak pula menganggap perkara ini serius dan perlu diperbesar-besarkan. Bagi mereka, buli yang dilakukan oleh pelajar senior ke atas pelajar junior (dengan izin) adalah satu bentuk yang boleh diterima sebagai satu cara untuk menambahkan keyakinan hidup di asrama, untuk belajar hidup berdikari, menerima sedikit tekanan dan tidak dimanjakan. Malahan hubungan lebih mesra antara pelajar senior dengan pelajar junior akan berlaku selepas itu. Tetapi perbuatan buli yang sehingga membunuh seperti yang terjadi ke atas Muhammad Farid Ibrahim adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh masyarakat dan dengan kejadian inilah, masyarakat kini membuka mata, melihat isu buli ini sebagai satu isu perlu diperangi habis-habisan sebelum kejadian demi kejadian menggegarkan media arus perdana negara.

Tujuan asal perbuatan buli hanyalah untuk menjadikan pelajar baru yang menghuni di asrama khususnya supaya dapat menyesuaikan diri hidup berjauhan dengan keluarga dan lebih menghormati senior-senior mereka (dengan izin). Walau apapun matlamat baik yang cuba diketengahkan daripada tindakan buli, buli tidak boleh dibenarkan jika dapat mencederakan dan sehingga ke tahap membunuh. Tindakan menyakitkan perasaan dan fizikal orang lain apatah lagi mencederakan dan membunuh tidak dibenarkan baik dalam agama apa sekalipun dan tidak boleh dibuat jenaka atau dilakukan dengan tujuan berseronok-seronok.

Dengan penyebaran media terhadap kes-kes buli ke seluruh negara, secara tidak langsung telah mencemarkan imej pendidikan Negara dengan bunyi-bunyi mengatakan bahawa pendidikan Negara kita lebih menjurus kepada nilai akhlak pelajar yang semakin rosak dan tiada usaha-usaha untuk membendung gejala yang tidak sihat ini. Pihak kerajaan dan pihak kementerian khususnya cuba mencari langkah proaktif untuk membendung budaya buli yang saya kira menjadi budaya sejak dahulu lagi. Dari pengalaman bapa dan ibu, abang serta kakak yang pernah menjejakkan kaki ke sekolah berasrama, semuanya pernah merasa tindakan buli dan telah menjadi mangsa kepada kes buli. Bagi mereka, ini adalah budaya yang diamalkan dari dahulu dan sudah bersedia untuk menghadapinya. Justeru, laporan kepada pihak berwajib tidak dibuat.

Hadirin sekalian,
Semua pihak terutamanya ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat perlu menyedari bahawa gejala buli yang diamalkan sejak dahulu lagi perlu diubah dari satu budaya kepada satu gejala yang kurang sihat dan perlu dihentikan demi menjaga prestasi anak-anak muda negara kita kerana merekalah yang akan menjadi tunjang pemimpin negara kita nanti. Kita tentu tidak mahu insiden buli ini menjadi lebih teruk seperti yang berlaku di Amerika Syarikat di mana tembakan rambang kerap berlaku di sekolah. Salah satunya ialah insiden Columbian High School di akhir 1960an. Adalah penting untuk kita ingat bahawa buli, konflik verbal, sentuhan fizikal dan yang berhubung dengan tindakan agresif masih menjadi bentuk yang biasa dalam masyarakat. Saya menegaskan bahawa bentuk-bentuk keganasan sekolah ini merupakan petanda awal kepada bentuk keganasan yang lebih besar dalam masyarakat. Sebab itu mengendalikan masalah kecil di sekolah adalah penting untuk kita mengelakkan berlakunya masalah yang lebih besar. Hal ini tidak mustahil akan terjadi di Malaysia jika tiada usaha dan inisiatif untuk membendung gejala yang menjadi duri dalam daging yang lama-lama akan bernanah seterusnya mencemarkan imej pendidikan negara.

Salah satu usaha pihak kementerian pelajaran untuk membendung gejala ini ialah mewujudkan hotline bagi memudahkan pelajar dan mangsa buli membuat aduan kepada pihak kementerian. Wujudnya hot line ini dilihat betapa seriusnya masalah buli. Sesetengah pula melihat sebagai satu sindiran kepada pihak pengurusan sekolah yang gagal menangani masalah disiplin sehingga menteri terpaksa campurtangan. Apakah tidak ada sesiapa lagi di sekolah yang tidak boleh diharapkan oleh pelajar sehingga mereka terpaksa berhubung terus dengan kementerian untuk membuat aduan?. Pendedahan oleh sesetengah media menunjukkan betapa sekolah gagal memainkan peranan yang sepatutnya. seolah-olah sekolah tidak selamat lagi untuk para pelajar.

Sama ada disukai atau tidak, pengetua dan guru besar selaku pemimpin di sekolah harus menerima perkembangan ini dengan fikiran terbuka. Tindakan terbaru ini harus dilihat sebagai perkembangan yang positif kerana ini menunjukkan semua pihak semakin sedar masalah ini dan sama-sama berusaha untuk membantu pihak sekolah. Inilah masanya sekolah mengambil kesempatan untuk mendedahkan punca sebenar masalah ini kepada umum. Inilah masanya sekolah menuntut peranan semua pihak terutama ibu bapa dan masyarakat agar melihat peranan masing-masing untuk membantu sekolah. Perasaan kita tentang sebilangan kecil yang tidak senang dengan sekolah harus disingkirkan kerana majoriti masyarakat kita masih sayangkan sekolah.

Alasannya mudah. Bukankah di sinilah anak-anak, anak-anak saudara, dan cucu-cucu mereka ditempatkan dalam suatu tempoh yang bukan pendek. Mereka menyerahkan tugas mendidik dan menjaga keselamatan anak-anak mereka kepada guru-guru. Mereka percaya guru-guru mampu melakukannya dan menunaikan tanggungjawab sebagai “ibu bapa kedua” dalam tempoh masa rasmi persekolahan.Walaupun dikatakan segala-galanya bermula di rumah, tetapi dengan segala kemudahan pendidikan yang ada di sekolah, ditambah dengan kepakaran mendidik yang ada pada guru-guru, sekolah dilihat berupaya memainkan peranan lebih utama dalam pembentukan calon pemimpin, pekerja dan ahli masyarakat masa depan. Justeru, sekolah wajar mengambil langkah berjaga-jaga yang berpatutan supaya tidak dituduh cuai dalam menjalankan tugasnya sebagai “ibu bapa kedua”.

Hadirin sekalian,
Usaha mengatasi masalah disiplin pelajar umumnya dan buli khasnya hanya akan berjaya jika ia dilakukan secara ikhlas, konsisten dan melibatkan semua pihak secara sedar dan terancang. Tindakan secara “ad hoc” (dengan izin) dan berkala hanya dilihat sebagai tindakan hangat-hangat tahi ayam. Usaha murni ini tidak wajar dilakukan dengan melihat kesalahan orang lain.

Selagi ada pihak yang mendakwa ada pihak yang lebih bersalah daripada pihak yang lain, usaha ini tidak akan ke mana-mana. Harus ingat, kita melaksanakannya bukan untuk menunjukkan siapakah di antara kita yang lebih hebat, jauh sekali untuk mencari kesalahan pihak lain tetapi semua ini dilakukan atas satu kesedaran bahawa semua pihak bertanggungjawab atas apa jua yang berlaku pada anak-anak bangsa Malaysia yang merdeka. Apa sahaja yang kita lakukan hari ini, baik sebagai guru, ibu, bapa, masyarakat, pemimpin, media dan sesiapa sahaja akan memberi impak yang besar bagi pembentukan generasi akan datang. Tentulah cara kita berbeza-beza menurut peranan dan fungsi kita masing-masing.

Akhir kata, marilah sama-sama kita berganding bahu memerah keringat demi untuk membendung gejala buli ini daripada terus-menerus membelenggu sistem pendidikan negara kita. Negara kita tanggungjawab kita. Sekian, terima kasih.


ps: Huh.. 1 hari gak aku perah kepala nak buat benda ni.. Aku tengok video.. Hrm. ok la Khaled oi... Mane RM200 aku.. ngee:D.. nak buat lupe la tu..
Ada apa dengan MC.. EMCEE atau Pengacara Majlis
Ada juga yang bertanya kenapa pengacara majlis dipanggil MC.. Aku jelaskan di sini hubungan antara M dan C yang membentuk MC itew ialah singkatan kepada Master of Ceremony. Apa yang aku boleh katakan ada juga pengacara yang tidak tahu apa maksud MC dan ditukar ejaannya kepada EMCEE agar nampak lebih menarik tanpa mengetahui maksud asal dan usulnya.

Aku sendiri permulaannya tidak tahu apakah maksud sebenar MC itu masa mula2 menjejakkan kaki dalam dunia pengacaraan semasa di zaman persekolahan. Itu la yang di namakan belajar. Mamaku telah mengikuti Kursus Pengacaraan Majlis Profesional dan aku mengambil kesempatan untuk membaca nota-nota yang dibekalkan.

Dengan nota-nota itu juga aku meng"improve"kan gaya aku berucap sebagai pengacara.

Sekadar mengimbas kembali acara-acara yang pernah aku kendalikan

Tingkatan 1-5
Sambutan Hari Guru 2004 dan 2005, Semi Formal
Majlis Restu Ilmu SPM 2006, Formal
Majlis Penutup Program Pasca Peperiksaan 2003, Formal
Voice Over Hari Sukan 2004-2005, Semi Formal
Kempen Muridku Anakku Sayang dan Ucapkan Terima Kasih 2003, Formal
Minggu Bahasa Melayu 2003 dan 2004, Formal
Minggu Pusat Sumber, Formal
dan banyak lagi.. tak tersebut

Sebelum masuk UiTM
Voice Over Karnival Sukan Rapid KL, Formal
Grand Dinner Hulla Party KRFM & JiwangFM, Semi Formal

Part 1
3rd Inter-Faculty Challenge Quiz 2008
Hari Keluarga MPP dan Persatuan Dalaman, Semi Formal

Part 2
Festival Kolej 2008, Semi Formal
Festival Kemerdekaan 2008, Semi Formal
Majlis Sambutan Hari Raya KKRS 2008, Semi Formal
Pra Perbentangan KIK (Pelajar) 2008, Formal

Part 3
Family Day OMSA 2009, Semi Formal
Global Business Carnival, FPP, Formal dan Semi Formal
Karnival Aurora, Semi Formal
Malam Jalinan Sejiwa, UiTM Perak -Dungun, Semi Formal
Kempen Kepenggunaan FOMCA, Formal
Majlis Perpisahan Bakal Graduan FPTP, Semi Formal

Memang banyak kenangan-kenangan yang aku tempuhi semasa mengendalikan program-program sepanjang penglibatan aku dalam dunia pengacaraan. Pergaduhan, pertelingkahan itu sudah menjadi asam garam dalam dunia ini. Cuma aku perlu sabar dan maintain mood untuk mengendalikan majlis. Lagi-lagi majlis yang tidak formal yang memerlukan mood yang baik sepanjang majlis.

Ada juga yang kata, bekerja dengan Reezwan Mohd ni memang susah. Sebab selalunya aku akan demand lebih, nak itu nak ini. Aku semestinya akan amik mood di atas pentas dan buat sound check dulu. Kalau abang BPF tu memang dah tau cam mane aku mengacara.. so die memang dah set siap2. Bagi aku, standard la semua tu. Memang seseorang pengacara majlis akan demand, nak air.. nak touch up, nak script, ape akan jadi lepas ni.. Memang ini semua perlu untuk menjadikan satu-satu majlis tu berjaya kurang cacat dan cela. Lagi satu, aku ni mengada-ngada nak Cordless Mic. Sebab aku ni kan besar.. Mic yang ade cable tu memang tak sesuai.. kalau tersadung ala2 nangka busuk la jawabnya...

Dalam kenangan juga best buddy mase mengacara.. Nana... Dua event aku dengan dia.. memang best bergandingan dengan dia.

Maafla.. aku tak dapat sertakan gambar untuk tatapan.. sebab semua gambar semasa aku mengacara telah abis di mamah usia.. eh bukan... Telah ilang kerana laptopku telah dihancurkan oleh si**an itu..




Kembali mencoret.. Asi-Asi Kembali...
Kali terakhir aku coret di laman ini tika aku masih belum me"renovate" kediamanku seperti sekarang. Secara tiba-tiba, mood untuk aku mencoret hilang sama sekali. Mungkin suasana di bawah katil ini tidak kondusif untuk aku menulis kepada kalian.

Baiklah.. aku cerita semuanya di sini ya..

Aku mulai menDJ

Beberapa minggu lepas aku telah diserap masuk menjadi sebahagian daripada KCFM:: Gegaran muzik terhangat. Aku mulai dj ya.. ntah berapa hari bulan.. Slot aku hanya di malam hari dari jam 8-12 malam.. Dengarkan saja ya suara sumbang aku itu... hanya klik http://www.kcfm.my/live

Penampilan Baru

Aku telah memujuk mama ku untuk membuat kaca mata baru..kerna pabila aku di dalam class.. Perkataan-perkataan yang dipaparkan tidak berapa tajam membuatkan mataku tidak selesa utk mempelajari sesuatu di dalam klas. Maka.. dengan pujukan itu la.. mamaku terus membawa ku ke tempat menempah kaca mata.. Dan hasilnya.. satu kaca mata berbingkai biru menjadi milikku.

Asi-Asi bersama Q kembali

Untuk memeriahkan suasana.. Q telah kembali ke Kuala Lumpur khas untuk meninjau keadaan kampus baru di Kuala Selangor, Kampus Puncak Alam. Maka, aku bersama Q ke Puncak Alam pada hari apa ya.. Selasa barangkali... Menawan puncak alam yang aku kira hanya 5% saja yang baru siap. Gambar-gambarnya nanti saja aku postingkan kerna masih didalam HP Q.

Setelah itu, berjumpa pula dengan Abang Hamdan.. Lama juga tiada berjumpa ya.. Makan-makan bersama dan bermain bowling bersama.. Q hanya menonton saja dan Ole-Ole di Shah Alam menyaksikan keakraban kami bertiga.

Nonton Cakap-Cakap ntah apa ntah di INTEC, Seksyen 18

Aku dikhabarkan oleh Khaled tentang acara ini dan minta untuk aku menyiapkan text nya itu. Tajuk buli yang aku pilih memang sangat sedap ya untuk di dengar.. Tahniah juga la kepada Shuk, Chip, Khaled dan Yab yang telah menjadi peserta ya.

Malam itu, aku meluncur terus ke Shah Alam untuk borak2 bersama mereka. Semua nya ada dan aku makan2 serta minum di Seksyen 7, Shah Alam. Di bawa pula ke INTEC utk nonton cakap-cakap itu. Aku pulang ke rumah jam 2.00 pagi.

Hurm.. itu saja yang boleh aku ceritakan.. Aktiviti sepanjang aku tidak online...

Ada lagi menarik aku mahu cerita.. tapi nanti saja ya...


Nasi Lemak.. Nasinya atau Sambalnya yang lebih penting.

Sekadar gambar hiasan. Bukan nasi lemak Opah tau..

Malam iti aku memang tidak dapat melelapkan mata.. Aku juga terfikir untuk kembali mengambil penthemin untuk memudahkan aku tidur selepas kesan ubat itu hilang tetapi memikirkan kesan yang amat memberangsangkan. Tapi bagus juga.  Aku akan lemah selepas kesan ubat itu hilang nanti yang membuatkan aku senang tidur.

Sedang fikiranku menerawang ke segenap pelusuk dunia, ke segenap zaman, dari zaman kuno hingga masa depan, tiba-tiba saja perutku terasa lapar kerana aku tidak mengambil sebarang makanan dari petang semalam.  Tengahari pula aku hanya mengambil sajian enak untuk orang bujang.. Apa lagi ya kalau bukan Maggie.. Nyum Nyum.. Pabila terasa lapar itu, ingatan ku terus membawaku ke zaman aku berada di semester 1, semasa aku masih mentah (mungkin sudah suku masak).

Layar mataku memainkan video bagaimana aku menikmati kelazatan Nasi Lemak Opah yang cukup terkenal di zaman itu.  Beratur cukup panjang hanya untuk menikmati nasi lemak yang sungguh menghangatkan suasana yang aku kira boleh menyebabkan pemanasan global dan penipisan lapisan ozon.  Baunya yang amat menyelerakan membuatkan aku terpanggil untuk menikmatinya setiap hari.  Hasilnya.. lihatlah.. limpahan lemak-lemak sudah pun menyelubungi diri ini.

Aku juga cukup konfius, di manakah terletaknya kelazatan dan keistimewaan sesuatu nasi lemak?

Hurm.. menurut tuntas-tuntas yang aku telah fikirkan malam tadi, ntah... Tiada jawapan khusus.. Nasinya kah? Atau Sambalnya kah? Timunnya kah?  Seperti apa yang aku cakap tadi, bau nasi yang menghangatkan tadi telah membuatkan aku terpanggil untuk menikmatinya setiap hari..  Sudah sah.. Nasinya yang membuatkan satu nasi lemak itu istimewa.

Tapi.. ada orang kata, kelazatan nasi lemak terletak kepada sambalnya.  Sambal yang terlalu pedas memang tidak sedap untuk ditelan kerana rasanya agak memijarkan lidah.  Tapi sambal yang terlalu manis memang tidak lalu untuk dijamah.  Rasanya mestilah "balance" bak kate orang bota.  Tapi tidak semua orang boleh menghasilkan sambal nasi lemak yang enak.  Jika berjaya menghasilkannya, nasi lemak itu akan popular seantero dunia.  Memang ada poin di situ.  Sambalnya yang menjadikan satu-satu nasi lemak itu istimewa.

Hurm.. bagaimana ini.  Juri-juri sila tentukan.

Terfikir sejenak.... Jika nasi yang enak tiada sambal yang sedap.  Maka spoil juga hidangannya.  Jika ada sambal yang sedap tanpa nasi yang sedap.. Tiada guna juga ya.  Maka dengan ini saya putuskan.  Kolaborasi antara nasi yang sedap dan sambal yang enak akan membuatkan nasi lemak itu sangat istimewa.  Nasi Lemak Opah.. memang mempunyai kolaborasi yang utuh.

Go Opah.. bersama nasi lemaknya.

Kamu pula?  Nasi? Sambal? Atau keduanya?

Gangguan melalui Saluran Telekomunikasi Digital

Aku baru saja selesai menonton 3R di TV3 yang kali ini menyentuh tentang PRIVASI.  Topik yang aku kira sangat bagus untuk dibincangkan bagi membendung gejala pecah privasi yang semakin runcing dari hari ke hari.

Tapi aku sangat suka dengan isu Gangguan melalui Saluran Telekomunikasi Digital yang dipaparkan minggu ini.  Menurut kata hos 3R, Rafidah, Celina dan Tini, maksud pernyataan ini adalah ganguan atau ancaman yang yang dilakukan secara digital melalui sistem telekomuniasi yang canggih seperti perkhidmatan atas talian, telefon dan sebagainya.  Hurm.. termasuk lah SMS, blog, laman web, panggilan misteri dan macam-macam lagi cara yang digunakan untuk mengancam dan membuat gangguan.

Gangguan dan ancaman yang dimaksudkan ialah gangguan emosi, seksual dan sebagainya yang boleh dikategorikan sebagai ganguan termasuklah jua gangguan privasi.  Anda pernah menerima SMS yang berbaur seksual atau sms yang berulang dari satu hari ke satu minggu, dari satu bulan ke satu tahun.. Cukup lama ya.. Itu lah yang dikatakan sebagai gangguan melalui medium digital.

Bukan SMS saja ya.  Gangguan atau ancaman melalui blog juga boleh juga didakwa di mahkamah.  Hurm.. kepada penulis blog seperti aku, terpaksa jua berhati-hati untuk mengeluarkan pendapat dan pernyataan.  Myspace dan Laman mencari kawan juga antara satu medium untuk mengganggu secara digital.

Tuntasnya, sebarang bentuk ancaman atau gangguan yang disalurkan secara digital boleh memecah privasi seseorang dan boleh diheret secara perlahan atau secara kuat ke mahkamah.  Dakwa saja ya.  Siapa-siapa yang mempunyai pengalaman atau bakal menerima pengalaman ini atau yang sedang menerima ancaman secara digital ini, pastikan saja anda mampu berjalan ke Balai Polis untuk membuat report.. atau jika tiada upaya, boleh membuat laporan secara digital di laman  web SKMM.  Hurm... banyak juga kegunaan aplikasi digital, ancaman dan juga laporan.

Credit kepada 3R di atas semua fakta yang digunakan.  Relex, Respek, Respon....

Operasi cetak rompak kini kurang mendapat keUNTUNGan?
Aku masih teringat tentang masa dahulu kala yang masa itu kelihatan anak-anak muda tidak kira dari kaum cina, india dan melayu juga kaum-kaum yang sefrekuensi dengannya berjalan di mana-mana menawarkan vcd dan dvd cetak rompak.  Harganya memang cukup murah.  RM5 hingga RM10.  "Bang beli bang.. banyak ni cite baru.. Cite ni pun belum keluar wayang lagi"

Hari ini, memang agak sukar untuk kita melihat kelibat mereka.  Mungkin di kampung masih ada berkeliaran tapi dikota-kota besar agak sukar dilihat.  Ada la yang masih berusaha mencari rezeki dengan cara ini.

Apa saja sebabnya ya?

Dengan kecanggihan teknologi hari ini, kebanyakan movie-movie dari dalam dan luar negara, sama ada yang sudah ditayangkan atau belum ditayangkan dapat dimuat turun melalui perisisian memuat turun seperti Ares dan perisian torrent.  So.... ape yang aku boleh katakan, rakyat hari ini tidak perlu untuk mencari pemuda jalanan yang menjual VCD dan DVD cetak rompak tapi hanya perlu memuat turun sahaja.



Kesan-kesan gejala ialah lanun cetak rompak di negara ini sudah susut pendapatan haramnya itu kerana susut jualan VCD dan DVD.  Tidak lupa kepada pemuda jalanan yang membuat duit melalui penjualan alat-alat untuk ditonton ini sudah tiada pekerjaan.  Tapi bagus juga, dapat mengelakkan diri daripada membuat pekerjaan haram ya..

Implikasi berterusan yang dapat dilihat ialah kepada pembuat filem, lagu, album dan sebagainya kerana sejak sistem cetak rompak diperkenalkan sejak azali lagi yang berkonsepkan konvensional sehingga berteknologi tinggi iaitu dapat dimuat turn secara percuma, mereka tetap kerugian berjuta ringgit kerana gejala ini.

Yang best nye.. aku sendiri pun menggunakan teknologi ini untuk mononton tapi aku puas juga kerana bergelar PEROMPAK secara terus tanpa orang tengah iaitu Lanun cetak rompak.  Ye la.. mana aci. diorang amik untuk atas angin jew.. ahakz.

Seni VS Daun....

Aku yang semakin bosan tinggak di rumah ini bersendirian membuatkan aku terfikir untuk projek wajib bagi semua kaum bahagian 4, DOMAT.. Memikirkan ide-ide lama yang berteraskan seni.. aku semakin naik berdenyut kepala otak kerana terlalu banyak prosedur untuk merealisasikannya.. Tapi jika kamu sorang yang optimistik seperti Encik Azmi itu, segalanya bisa berada di depan mata...

Bukan optimistik atau realistik permasalahannya, masalah belanjawan menjadi ukuran seperti kata Makcik yang kat kedai jahit itew... Ukur baju di badan sendiri. kalau ukur di badan model, masaklah makcik nak alter sana sini... ye la.. lemak model tu kat bontotnya.. lemak kamu.. di mana saja yang tiada lemak.. kadang terkesima aku mendengarnya...

Ukur baju di badan sendiri.. Ya.. buat projek mestilah bertepatan dengan budget yang ada... Takkan budget RM 5000 ingin membuat event yang besar-besar.. Cakap memang senang.. realisasikannya yang payah...

Masih lagi memikirkan tema apa yang boleh membuatkan baju itu fit di badan aku... Tema seni atau tema daun.. Pening-pening.

Kamu pula bagaimana... Seni atau daun...


UiTM, Universiti Bertaraf Dunia... Apa masalahnya



Aku melangkah perlahan ke laman-laman web yang memaparkan kisah suka-duka UiTM, sejarahnya dan sebagainya. Aku terkesima dengan satu blog yang diberi alamat http://educationmalaysia.blogspot.com yang memaparkan kritikan mengenai Aspirasi Global yang diwar-warkan pada tahun 2006.

Aku sebagai anak kelahiran UiTM ini sangat sentap dengan tohmahan dan cacian yang telah dilemparkan kepada UiTM. Bagi aku, UiTM merupakan platfom untuk menjadikan mahasiswa yang berkualiti dan berkarisma seiring dengan ilmu yang dicurahkan.

Mungkin ramai yang mengalami tekanan jiwa kerana UiTM hanya dibuka untuk golongan bumiputera. Aku mempunyai ramai juga rakan-rakan dari bangsa Cina dan India yang mempunyai pendapat bahawa UiTM satu universiti yang mempunyai banyak pilihan program yang berteraskan kemahiran. Ya.. betul cakap-cakap yang dilemparkan kepada aku. Universiti mana yang menawarkan program pelancongan, kulinari, muzik, hotel dan sebagainya selain dari UiTM? Memang ada tapi pergi saja melangkah ke IPTS yang menawarkan yuran mencecah ribuan ringgit sedangkan UiTM hanya mengenakan yuran RM 200 saja satu semester.

Malangnya, hanya golongan bumiputera saja diterima di UiTM

Dalam blog tersebut juga menyebut bahawa peratus graduan UiTM yang menganggur tinggi berbanding dengan Universiti lain di Malaysia. Aku hanya boleh mengaku memang benar angka peratusan agak tinggi tetapi cuba kita lihat angka yang boleh dilihat apabila sekali musim konvo, lebih kurang 10000 graduan dihasilkan. Dibandingkan dengan Universiti lain yang hanya menghasilkan kurang 1000 graduan, adakah UiTM layak dikategorikan sebagai melahirkan graduan jaguh kampung? Fikir-fikirkan..... Teringat baru-baru ini, musim konvo ke 70 mempunyai 14 sidang (pagi dan petang)

Jika UiTM ini tidak sehebat universiti lain di Malaysia, kenapa cadangan YB Menteri Besar Selangor mahu membuka kemasukan pelajar dari bukan bumiputera disokong penuh oleh PKR, DAP dan sebagainya? Kenapa UiTM dijadikan alat politik untuk meraih kemenangan di Permatang Pauh? Ini sebagai bukti kukuh golongan bukan bumiputera mengakui kehebatan pendidikan di UiTM yang tidak disangkal lagi keunggulannya.

Apapun bagi aku, UiTM memang satu platform untuk melahirkan mahasiswa yang cukup berkualiti dari aspek intelektual, karisma, komunikasi dan sebagainya dengan kawalan pendidikan yang telus, kukuh, ketat dan padat serta tepat seiring dengan kemajuan pendidikan negara.

UiTM.. Usaha Taqwa Mulia
Akhirnya tamat persengketaan ini.. Sigh**

Tatkala aku menyinggah di blog teman2, aku terharu dengan satu post yang berkaitan dengan ibu. Sungguh bangga aku katakan, persengketaan aku dengan mama telah berakhir 2 minggu yang lalu. Huh lega.. lebih kurang 4 bulan juga tidak bicara ya.. akhirnya persengketaan ini hilang begitu saja tanpa ada pertumpahan darah.

Credit juga kepada Que kerana dia juga yang menjadi pemangkin semangat untuk aku memulakan langkah untuk menghubungi beliau.

Penceritaan dengan ringkas..

Aku: Hello, mama cal semula.

Mama: (Memanggil) Ape je?

Aku: Kene hantar plumber datang, sebab paip bocor, flexible host tu dah spray.. Kene tuka baru. (Puas juga la aku menerangkan)

Mama: Nanti mama balik tengok.

Aku: Ma......

Mama: (Terus menjawab) Duit-duit tak de.. Pandai erk call mintak duit..

Aku dan Ibuku: Siti Rohani binti Said (631207-10-****) Saje nak tunjuk aku hafal no IC mama aku tau...

Itu la naluri seorang ibu. Memang tahu dengan kerenah anak-anaknya. Tahu-tahu aja aku mahu meminta wang daripada sang ibu itu. Terer sungguh. Tapi aku tetap berbangga dengan ibuku kerna masih lagi memahami anak-anaknya.

Terima kasih juga kepada paip yang telah bocor itu kerana telah mengembalikan kebahagiaan aku dengan ibuku terchenta itu...

Akhirnya, hari Jumaat yang lalu, kami (Aku, Mama, Syiqin dan Que) tekah berkunjung ke Tesco untuk membeli barang keperluan rumah yang sudah lama habis untuk rumah bujangku.. Melengkapi semua peralatan yang telah tiada dan rumah bujangku seperti bernafas kembali..

Betul kata Chip... sanyangi ibu anda..
Ada apa dengan BAHASAKU
Aku jua tidak mengerti kenapa saja ada jua yang mempertikaikan bahasa yang aku gunakan dalam penulisan blog dan juga pabila komunikasi dengan rakan-rakan melalui YM, Myspace atau apa saja yang menggunakan teks.

Adakah bahasa yang aku gunakan sukar di baca atau sukar difahami? Setahu aku, bahasa yang aku gunakan ialah bahasa Melayu yang telah dicampur dengan bahasa nusantara. Walaupun aku tidak menggunakan bahasa Melayu standard, mereka di luar sana sangat memahami jua bahasa yang aku gunakan.

Gaya penulisanku memang sebegini pabila jari-jemari menari-nari di atas papan kekunci untuk menaip pos-pos di dalam blog. Mungkin gaya bahasaku yang membuat orang yang membacanya tidak memahami apakah yang aku ingin sampaikan, kerna aku juga tidak mahu orang lain memahami cerita sebenar dan memang aku sengaja memperbelitkan ayat serta frasa tersebut supaya sukar difahami.

Aku juga tahu bila sepatutnya aku menggunakan bahasa Melayu yang standard. Aku ini bukanlah perosak bahasa seperti yang engkau katakan kepada aku tempoh hari kerana bahasa yang aku gunakan lebih tinggi tarafnya daripada bahasa pasar yang lebih merengsakan pabila menusuk ke telinga. Aku harap kamu faham ya...
  • Jerit-Jerit di Sini

    Adakah rupa baru ini lebih indah, ceria dan membuatkan mata anda terpanggil untuk meminta otak supaya mengawal anda untuk melawat laman blog ini lagi?

    Followers